Sunday, 28 August 2022
Epilog : Amni Terbang Tinggi
Monday, 16 May 2022
Aidilfitri 1443H : 2 Syawal
Cerita sikit perihal 1 Syawal. Kebiasaannya (dua tahun dulu), 1 Syawal sehari suntuk memang beraya habis dengan semua keluarga rapat (adik beradik sebelah aku sebelah suami dan mak). Kelainan tahun ni ialah, ke rumah kakak-kakak suami dan seorang saudara terdekat di Syawal kedua.
Walaupun beraya gaya endemik, tetaplah rasa tak best nak sakan beraya macam dulu-dulu. Tak synchronize dengan plan suami. Aku kata, tunggulah Aidilfitri 1444H. Ada rezeki insha Allah kita meriahkan sesi kunjung mengunjung. Sebagai tipikal isteri, haruslah kemenangan milikku.
Selesai beraya, photoshoot dulu...
Ini pun ikutkan, aku malas. Once upon a time, aku yang beriya nak OOTD, suami malas nak layan sampai boleh bawa bergaduh. Sekarang terbalik. Faktor umur atau faktor you get what you give? Mungkin.
Zoooom ke AEON Manjung pada 2 Syawal. Cari apa? Takde apa-apa. Kebetulan Amni, Amin dan Iman teringin nak makan itu ini. Jomlah cari di AEON Manjung. Orang tak ramai/sesak tapi tempat makan memanjang orang queue nak masuk. Di Johnny, kami sampai staff dia kata tunggu 30 minit. Usai solat Zuhur, eh tunggu lagi 30 minit. Bila nak habis 30 minit kalau macam ini. "Chef ada satu orang ja". Patutlah.
Cuba cari tempat lain pula, tiada yang tidak queue melainkan queue sahaja. Tak boleh jadi, nampak Sushi King aku berdiri depan pintu dan tunggu. Staff kata orang ramai. Baiklah, faham. Tak sabar memang tak makan sampai ke sudah, believe me.
Berkat kesabaran Alhamdulillah, tinggi piring sushi kami kumpul. Kebetulan apps Sushi King ada offer, ada lagi aiskrim free sempena bulan kelahiran yeay. Rezeki dan berbaloi menunggu.
Kenyang semua, singgah Popular beli komik tiga beradik tu. Keluar Popular, nampak Samsung store. "Jom singgah nak tengok tablet". Aku berdua dengan suami masuk. Tiga lagi surrender, melepak di bangku. Macam biasa, tengok display tablet, conteng-conteng. Promoter datang pung pang pung pang. Kami say thank you, keluar dan...
"Macam nak beli..."
Suami kata beli aje lah. Jemu dia dengar aku duk menyanyi nak beli nak beli tapi tak beli pun. Masuk semula. Soalan pertama aku tanya, "Boleh sync gambar dari A32 ke tab?". Aku tahu mesti boleh punya tapi tak sangka sebegitu mudah zing zing zing cara nak kongsi gambar. Kesudahannya...
Inilah feature dalam Samsung Tablet 8 yang jadi punca utama aku tertarik untuk memilikinya. Terpesona(atau jakun) aku tengok gambar besar-besar dari screen digital device 😂
Selain cita-cita nak istiqamah update blog, aku jua punya cita-cita nak update Youtube channel keluarga kami buat kenangan. Moga jadi kenyataan dengan kewujudan ia.
Doakan.
Aidilfitri 1443H : 1 Syawal
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar...
Bangun tido anak-anak tegur. Ibu macam zombie. Statement anak-anak pun, murung aku tujuh perpuluhan lima minit.
Suami ajak balik rumah mak di Batu 6. Sebab baju raya tinggal kat sana. Ikutkan malas nak ke sana ke sini. Ya itulah kekurangan bila kampung laki bini dekat-dekat. Aku suruh ja solat raya pakai t-shirt dengan track suit, eh tak mahu. Malas nak cari gaduh, aku pun iyakan ajelah. Tapau juadah raya tuk di bawa ke rumah mak (sebab aku dah pesan ke mak tak payah masak apa-apa -- solehah kan aku?).
Sampai rumah mak jam 7 pagi... terperanjat Ida dan Yah sekeluarga pun ada. Ikut plan patutnya Kamal sekeluarga dan Pak Su ja. Gaya raya macam ni kan, bertebaran semua plan. Tapi bagus juga, insha Allah luak nanti segala macam juadah raya. Risau dan runsing masak macam-macam, banyak-banyak (sampai jadi zombie) takde siapa nak habiskan.
Kesimpulan, meriahlah rumah mak di pagi Syawal.
Terperanjat dalam satu ke tiga minit sudah, sambung pula bersilat hidangkan makanan. Yang lain-lain sibuk bersiap nak solat raya, jadi yang sudah raya awal lah yang patut sibuk, kan? Bukti sibuk di pagi raya aku letak siap kat sini.
Selepas makan, bersalam-salaman, bermaaf-maafan di hari raya dan photoshoot buat kenangan.
Ida dan suami. Kemain outfit kau da. |
Yah sekeluarga. Shot ke 52 baru dapat molek begini 😂 |
Kamal sekeluarga. |
Mak hepi le tu tiba-tiba meriah 1 Syawal dengan anak menantu cucu. |
Sempat la ber OOTD Along sekeluarga di Hujung Rintis. |
Oppps hampir tertinggal nak letak gambar aku sekeluarga. |
Sekeping ramai-ramai di rumah mak (tanpa Baa dan Along) |
Sekeping lagi ramai-ramai di Hujung Rintis (tanpa Baa dan Ida) |
Untung besar tersalah baca mesej, tak ikut tema. Menyerlah sekeluarga 😎
Sunday, 15 May 2022
Aidilfitri 1443H : Juadah Raya
Siang terakhir Ramadhan, aku selaku chief chef menyediakan juadah berbuka dari jam 1 petang. Ramai yang membantu tapi bila jadi chief chef ni extra lah sikit lelahnya. Pada hari kejadian, sejumlah tujuh keluarga yang hadir berbuka di rumah arwah Abang Dol. Alhamdulillah meriah, dan sibuk. Jangan kata nak main Clash of Clan, nak pegang Samsung A32 pun tak sempat hari tu huhu.
Bila dapat kejutan, rasa longgar kepala lutut. Aku bagitahu suami. Aku nak tidur. Tapi aku tak boleh nak tidur walaupun suami bagi izin bersyarat. Sudahnya, aku bangun dan ajak Amni, Amin, Iman sama-sama bantu sediakan juadah raya pada malam raya penuh kejutan itu.
Juadah Aidilfitri 1443H |
Aku tidur jam 2 pagi, suami tidur jam 3 pagi tepi periuk rebus ketupat daun. Hasil akhir Alhamdulillah terasa macam wow juga kemahiran memasakku. Syukur berbakul-bakul, bahan-bahan memasak dah memang stand by jadi tidaklah havoc sangat malam tu. Jiran sebelah, pengumuman raya keluar, terus start enjin kereta pergi pekan Teluk Intan mencari bahan.
Aku, pengumuman raya, baring sambil tenung bumbung. Eh, kalah teruk havoc raya dengan jiran sebelah rupanya 😂
Juadah raya tersedia di pagi raya :
Rendang daging minang
Rendang ayam biasa
Rendang daging biasa
Semur ayam
Sambal goreng Jawa
Kuah kacang
Ketupat daun
Nasi impit segera
Alhamdulillah
Aidilfitri 1443H : Kejutan Malam Raya
Aku tak rasa aku seorang, satu Malaya setuju rasanya dengan apa yang aku (kami) rasa Aidilfitri 1443H kali ni.
Aku sedang selesaikan dapur (kemas, membasuh, mengelap dsb). Tiba-tiba suami melaung, "Raya esok". Aku macam what? Aku takkan sewenang-wenangnya percaya. Bergegas aku ke ruang tamu, mempersoalkan kenyataan suami sebab kadang-kadang suamiku pandai bergurau.
Bila anak-anak saudara mengiyakan pernyataan itu, aku naik atas dan baring sambil memandang ke arah bumbung rumah. Oh, sempat juga aku capai Samsung A32 dan mesej keluarga. "Esok raya huhu". Aku tak mahu berhuhu satu orang. Lebih ramai lebih meriah lebih bagus.
Dan aku terus memandang bumbung rumah. Aku nak tidur.