Showing posts with label amni & sekolah. Show all posts
Showing posts with label amni & sekolah. Show all posts

Tuesday, 31 December 2019


Pengumuman PT3 dan UPKK 2019 Gaya Kami Sekeluarga

Kakak Amni dapat keputusan PT3.
Abang Amin dan adik Iman dapat keputusan UPKK.

Keputusan dapat selang sehari. Didahului dengan keputusan UPKK pada 17 Disember dan PT3 pada 18 Disember 2019. Hari Selasa dan hari Rabu. Bermakna ibu berada di Banting ketika keputusan diumumkan. 

Tidak berada disamping anak-anak ketika keputusan peperiksaan awam diumumkan adalah sangat menyedihkan. Emosi betul rasanya, jadi aku menghasut anak-anak untuk tidak ambil peduli dengan keputusan peperiksaan tersebut. Alahhhh apalah sangat, UPKK dan PT3 je kot. Gitulah lebih kurang ayat azimat yang aku guna.

Disebabkan syurga dibawah tapak kaki ibu, maka anak-anak pun patuh dan taat kepada kehendak ibunya. Hehe.

Jadi pada dua hari tersebut, gempar seantero Malaya dengan dua keputusan ini. Aku dan keluarga acah-acah lek, cool, chill... Acah-acah aje, walhal menggeletis rasanya nak tahu keputusan (aku lah tu).

Lebih menggemparkan ialah, aku baru tahu yang keputusan PT3 hanya boleh diperoleh dari sekolah pada hari berkenaan jam 12.00 tengahari. Gempar dan gelabah oooo... Ku fikir boleh dapat dihujung jari seperti UPKK. Rupanya N.O omaimaiiii... Disebabkan idea untuk tidak mengambil keputusan peperiksaan adalah keputusan aku, maka mencari jalanlah aku untuk dapatkan keputusan. Kerisauan suami membebel. Haha.

Telefon sekolah, telefon SU peperiksaan, Whatsapp Ustaz kelas Amni... Kelam kabut kurasakan. Akhirnya... Dapatlah keputusannya pada hari berkenaan, tanpa pengetahuan Amni. 

Pendekkan cerita, aku pulang ke Pilah pada hari Jumaat. Bercadang untuk mengumumkannya menggunakan kaedah nisbah dan kadar. Ilmiah bukan? Tempat;  McD Kuala Pilah. Alat bantu mengajar yang digunakan ialah macaroon. Kurasakan diri ini sungguh kreatif. Haha.

Keputusan UPKK aku periksa online di McD bersama 6 biji macaroon. Langkah penjimatan jika menggunakan nisbah dan kadar. Kadarnya ialah 1 A bersamaan 1/2 macaroon. Pada ketika ini, Amni kononnya masih tak tahu lagi keputusannya. Dia pun sudah dimaklumkan keputusan PT3 tidak di online kan. Jadi akan diambil pada hari Isnin di pejabat sekolah.

Walaupun begitu, kemain excited nak tahu keputusan adik-adiknya.

Periksa keputusan Amin dahulu. Lepas tu keputusan Iman pula. Periksa semula keputusan Amin, Tiga kali aku periksa kembali keputusan Amin, memang surprise anak-anak tengok riak muka aku dan ayahnya. Ini real punya bukannya acah-acah. Hadoiiii... Kenangan sungguh.

Kemudian aku letak tisu depan Amin, aku kerat 1 macaroon jadi 1/2... Jadi 1A. Lepas tu satu, satu dan satu lagi macaroon sama-sama adik beradik mengira. Bila aku berhenti, semua menjerit keriangan.

 Ya, Amin dapat 7A! Alhamdulillah dan tahniah Amin.

Kemudian Iman pula, Kaedah yang sama. Tapi dah tak ingat aturan macam mana aku letak macaroon tu. Pun sama-sama mengira adik beradik, pun sama-sama menjerit keriangan.

 7A! Alhamdulillah dan tahniah Iman.

Terpaling gembira aku rasa malam tu ialah Amni. Seronok dia tengok adik-adiknya dapat keputusan yang baik, walaupun keputusan dia 'lambat' lagi nak tahu (kunun). Selesai adegan menjerit keriangan sampai meja sebelah pun pandang-pandang hehe, sesi bergambar pula (kunun).

Bergambar kenangan meraikan kejayaan kembar. Alhamdulillah...

Lepas tu terus aku letak pula tisu depan Amni. Amni bereaksi... "Eh..." Aku terus ja susun satu, lepas satu, satu, satu, satu dan setengah macaroon depan Amni. Lepas tu aku dan suami sama-sama cakap "Tahniah kakakkkkk..."

Kegembiraan... Alhamdulillah dan tahniah kakak! 11A!

Lepas tu aku pun pung pang pung pang menceritakan kisah begitu begini bagaimana aku dapat keputusan PT3 dari Setiausaha Peperiksaan sekolah Amni pada hari keputusan diumumkan.

Sesungguhnya gembira tak terkata aku dengan keputusan Amni, Amin dan Iman. Allahu Akbar serius aku rasa aku nak bagitau satu dunia, betapa bangganya aku dengan keputusan mereka. Tapi aku risau aku jadi riak dan takabbur pula nanti. Tapi teringin nak simpan buat kenang-kenangan di Insta. Sudahnya aku buat caption general, memohon akhlak budi pekerti mereka secemerlang keputusan yang diperoleh. Moga ada yang aamiiinkan doa aku buat anak-anak tercinta ini. 

Dihujung sekali aku buat nota kaki dalam bentuk descriptive (yakni ayat semua) berkenaan nisbah dan kadar ditambah kira-kira matematik. Aku yakin hanya yang tekun dan rajin sahaja yang akan membaca sampai habis nota cinta aku tu serta perlu pula menaakul dengan teliti. Hasilnya, memang tak ramai yang tahu secara terperinci keputusan sebenarnya mereka.

Rata-rata fikir Amni dapat 5A dan kembar dapat 3A yeay. Maksud sebenar tercapai dan aku tak jadi nak riak dan takbur haha... 

Monday, 2 September 2019

Poster Geografi PT3

Poster Amni, letak sini sebab aku rasa cantik.

Penambahbaikan setelah diceramahi ibu atas faktor CASPER.

Tapi dah kenapa sekarang aku rasa hasil asal poster Amni yang di atas lebih cantik dan lebih CASPER? Aiyokkk...
Harap A++++ la Geografi kau kakak 😅

*** Setelah diperhati betul-betul, aku rasa betul dah apa yang aku betulkan. Mahu ditekankan ialah mesej bukan latarbelakangnya, kan... kan?

Sunday, 1 September 2019

Dari Ustaz Khairi : Kakak Amni ke Rantau Agropark Kampung Solok

Dua tiga hari sebelum 31 Ogos 2019, Ustaz Khairi maklumkan, Amni serta para pelajar Tingkatan Tiga menghadiri Kem Terapi Minda di Rantau Agropark. Lega tiba-tiba sebab cancel booking apartment di KL pun dua tiga hari sebelum, fuhhh...

Mudah nak cari Amni, mesti letaknya di tengah-tengah barisan. Hari terakhir. Cantik pula rumah kampung yang jadi latar belakang nun.

Aktiviti yang ustaz update. Ceramah mungkin, atau usrah? Selepas diceramah, dijamu BBQ.

Sedap tak terhingga Amni khabarkan.

Moga aktiviti ini mencemerlangkan anak-anak huffaz ini dunia dan akhirat.
Gambate! PT3 is around the corner aiyokkk...

Saturday, 1 June 2019

Proud Moment - Majlis Anugerah Kecemerlangan

Sejujurnya, aku sangat bangga dengan kecemerlangan Amni sampai aku tak pernah update dengan detail tentangnya di media sosial. Aku terasa-rasa akan terbitnya riak bila ramai orang tahu dan berikan komen melambung kelak.

Di blog tak mengapa, sebab tak ramai yang tahu tentang kewujudan blog ni. Hanya rakan-rakan yang rapat dan mungkin orang-orang yang aku tak kenal (itu pun kalau ada hehe). Aku nak ia dijadikan kenangan, dan aku nak Amni tahu betapa bangganya kami (aku, ayah dan kembar) dengan kejayaan demi kejayaan yang dia peroleh.

Tahniah my sweet cotton candy...

Ibu tak dapat hadir tahun ni sebab PESSKOM, tapi tetap call dari Pontian untuk beri sokongan...

... dan siapkan satu lagi entri momen bahagia buat kenangan.

Rajin lagi buat video wuuuu 😁



Tuesday, 17 July 2018

Kejohanan Catur XiangQi Peringkat Negeri Sembilan

Salam dari Senaling,

...atau Catur Cina.

Aku pernah update cerita Amni masuk kejohanan catur Cina peringkat Daerah Rembau sekali dengan kembar wakil daerah ke Perkhemah Perdana TKRS bulan lepas di sini

Hari ni, kakak dan Iman wakil daerah masing-masing ke peringkat negeri. Ini team kakak. Wakil Daerah Rembau.

Team Iman, wakil Daerah Kuala Pilah.

Kali ni, Abang Amin tidak terpilih. Tak mengapa, Insha Allah rezeki tahun depan. Kita praktis banyak-banyak lagi prepare untuk 2019! Terima kasih Incik Ayah yang rajin attend apa-apa event yang anak-anak sertai. Moga Allah kurniakan kesihatan, kekuatan dan perlindungan untuk Incik Ayah hadir kesemua aktiviti untuk capture gambar buat kenangan.

Moga anak-anak akan ingat bahawa kami sentiasa memberikan sokongan, sedaya upaya. Ayah hadir, amik gambar, ibu amik gambar tu dan update blog. Aur dengan tebing sangat kami ni. Hehe



Keputusan semalam, kakak menang dua game. Iman pulak menang satu game, dari jumlah tiga game. Hari ni empat game lagi. Moga dapat jadi wakil Negeri. Wow... jarang aku letak harapan sampai begini jauh dalam mana-mana bidang kokurikulum. Cukup sekadar pengalaman. Cuma pagi ni terfikir, kakak tingkatan dua, Iman darjah empat. Belum ada peperiksaan penting. Jadi pergilah jauh. Ibu doakan.

Update : Kakak Amni menang tiga lagi game, total jadi lima dari tujuh game. Iman pulak, berjaya menang sekali, total jadi dua dari tujuh game.

Alhamdulillah, satu lagi kenangan dilakar 😍

Thursday, 5 July 2018

Aidilfitri 1439H : Edisi Hari Terbuka Raya Asrama Kakak Amni

Salam dari Senaling,

Sakan kami sambung beraya hujung minggu lepas. Alhamdulillah. Plan asal lain, Allah kehendaki lain. Dapat makluman dari sekolah kakak melalui whatsapps, ada Hari Terbuka Asrama, merangkap Hari Terbuka Raya. Konsep pot luck. Perancangan nak bawa nasi impit, rendang ayam. Allah kehendaki mee goreng mamak. Perancangannya 9.00 pagi keluar dari rumah.Allah kehendaki tayar golek jam 9.30 pagi 😍.

Mengimbau sangat kenangan katil asrama, tingkat atas. Tak main ah rebut-rebut katil bawah. Chills ja aku dulu bila nak masuk asrama sesi persekolah baru. Stress free. Sekarang aku turun ilmu chills tersebut dengan Amni.

 Gigih bilik Amni buat props ni. Tah ada pertandingan ke apa ke aku pun tak pasti.

Dorm mate kakak.

Depan dorm sebelah.

Berkenan dengan 3D wallpaper dorm ni

Toilet okay. Sekolah kakak Amni bawah projek toilet gemilang ke apa ke nama projek tu. Dari tahun lepas. Jadinya memang semua toilet bersih, kemas dan cantik!

Puas meronda baru pergi beraya. Konsep potluck kumpul lima bilik dalam satu bilik kuliah. Aku lebih suka dalam bilik terus, bolehlah berkenalan dengan dormmate Amni. Mungkin ada sebab-sebab lain yang hanya sekolah ja tahu.

Bukan kami yang kumpul, cuma amik kesempatan kebetulan ada sesi fotografi di belakang asrama. Perkenalkan Muslimat Tingkatan Dua Program TMUA.

Suasana Haaari Raya... Walau di tengah asrama...

Amboiiii, kaki kau Amin...

Dapatlah jumpa kakak hujung minggu lepas. Alhamdulillah.

Barulah tenang nak balik kampung minggu ni, cuma teringat-ingat kakak nak makan sate je belum sempat nak tunaikan. Minggu depan Insha Allah k. Yeay. Satay! 😎

Monday, 12 March 2018

Ustazah Siti Aishah. Terima Kasih.

Salam dari Senaling,

Aku amik masa yang lama tuk update entri khas ni. Supaya emosi aku lebih stabil. Bismillah.

Amni sekarang di SMKA Dato' Haji Hassan Haji Abu Sail (Masha Allah nama sekolah ni memang panjang), dalam program TMUA (Tahfiz Modul Ulul Albab) sejak tahun 2017. Dalam sistem ni, Amni berada dalam dua aliran. Aliran tahfiz dan aliran perdana.

Aliran tahfiz akan bermula jam 7.00 hingga 9.00 pagi. Aliran perdana sambung dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Aliran perdana macam sekolah menengah yang belajar subjek itu dan ini.

Aliran tahfiz lain dan istimewa sikit. Sebabnya ialah, hanya ada satu cikgu sahaja yang akan uruskan budak-budak tahfiz dalam kumpulan-kumpulan kecil (12-15 orang). Kumpulan-kumpulan ni di panggil halaqah.

Halaqah Amni dijaga oleh Ustazah Siti Aishah binti Ismail. Ustazah ini jugalah yang memperkenalkan Amni dengan ilmu hafazan Al-Quran, menjaga, memantau, buat laporan atas semua prestasi dan kelakuan anak-anak halaqah. Insha Allah, Ustazah inilah juga yang akan follow perkembangan hafazan Amni dan kawan-kawannya sampai Tingkatan 5 kelak.

Ustazah Aishah, comel je orangnya, lembut ja tutur katanya. Dua tiga kali juga bertentang mata selebihnya melalui Whatsapp. Paling comel kalau dia denda anak-anak halaqah sebab tasmik tak lepas atau murojaah terlambat ke, mesti dia post kat Whatsapp group. Amni pernah kena denda sekali. Haha.

 Majlis Hari Raya Aidilfitri 2017

Masa ni baru perasan, heiii ustazah pregnant ya. Ingat bujang lagi.

Dari Amni stress-nak-menyesuaikan diri sampailah dah okay leh adapt dengan kondisi TMUA. Peperiksaan demi peperiksaan. Aktiviti demi aktiviti bersilih ganti. Terakhir bersua muka dengan ustazah masa nak amik keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Panjang ustazah bercerita tentang potensi Amni. 

Bulan berganti bulan, hingga tiba ke bulan November, masa aku sibuk-sibuk plan nak wat party pack sempena birthday Amni, Amni  minta aku doakan moga baby ustazah dilahirkan sama tarikh dengan dia 20 November 2017. Yaaaaa... aku doakan Insha Allah.

Keputusan peperiksaan akhir tahun (24 November 2017), ustaz yang serahkan. Ustazah dah bercuti awal menunggu hari. Ohhhh maknanya birthdate Amni tak sama la ngan baby ustazah 😊.

Masuk semula persekolahan, Amni khabarkan ustazah belum naik lagi. Mungkin masih cuti bersalin. Sehinggalah pada 10 Februari 2018, kami memang dah maklum Amni ada aktiviti berkuda.  Tup tup dalam group whatsapp halaqah, ustazah upload pic aktiviti hari tu.

Assalamualaikum ustazah, Amni-makcik-alergi-ngan-gagang-telefon, dan kawan-kawan.

Untunglah ustazah upload pic kalau tak tak tau citer jadi-ke-tak-jadi aktiviti berkuda, kami ni duk la berkira-kira nak melawat ke tak makcik Amni minggu tu. Eh, ustazah dah masuk mengajar. Awal juga ustazah naik sekolah, bukan patut tiga bulan ke? Ohhh mungkin lom disahkan dalam perkhidmatan jadi layak dua bulan ja. Antara isu yang aku sembang ngan Incik Ayah masa terima pic.

Pictures ni kami terima pada 10 Februari 2018 jam 6 petang, dan pada 12 Februari 2018, petang dapat mesej dari seorang parent. Mesej tak best, sal kemalangan. Mesejnya, betul ke ustazah terlibat. Parent tersebut dapat berita dari group sebelah (sebelah sana atau sebelah sini aku tak pasti). Aku sejenis malas nak percaya perkara yang tak pasti. Jadi aku sardinkan aje berita tu.

Awal malam, keluar lagi satu mesej dari parent yang sama, katanya dari group yang lain pulak bagitau ustazah masih belum sedarkan diri. Allahuakbar, tapi aku masih tak berapa nak percaya walau pun masa tu aku dah mula memanjatkan doa moga kemalangan tu biasa-biasa. Patah tangan ke patah kaki ke. Luka ke. Yang biasa-biasa.

Malam lagi, baru dapat mesej yang lebih meyakinkan. Ya, kondisi kritikal dan masa tu air mata aku dah menitik-nitik. Aku rasa sebak dan sedih sangat. Aku plan da nak qiam, wat solat hajat dan baca Yaasin moga segala-galanya baik sejahtera. Jam 4.30 pagi dapat mesej copy paste dari suami ustazah, bahawa ustazah Aishah telah pun pergi bertemu Ilahi jam 1210 pagi pada 13 Februari 2018. Allahuakbar, Allahuakbar. Terus menerus air mata aku menitik, sedekahkan Alfatihah dan tiba-tiba rasa sebu.

Aku fikirkan Amni dan anak-anak halaqah ustazah. Bagaimana agaknya emosi budak-budak ni. Asal ingat mesti aku menangis. Dan macam biasa Amni, masih tak call tak bagitau apa-apa. Biarlah, tapi aku asyik terfikir-fikir macam manalah... macam manalah. Mujur minggu tu tak panjang sebab cuti tahun baru Cina bermula hari Khamis. Rabu petang dah kena ambil Amni balik dari asrama. 

Seperti biasa Amni call Selasa petang. Incik Ayah yang sambut dulu duk sembang sal nak datang esok jam berapa, di mana dan lepas tu baru pass pada aku. Ayat pertama dia, "Ibu tau?". Aku jawab, "Tau". "Sedihhh...", terus aku potong, "Amni balik dulu. Nanti kita cerita". Aku lencongkan ke topik lain, selesai. Letak gagang. Aku menangis. Haishhhh. Sedihnya Allahuakbar. 

Rabu petang Incik Ayah je yang amik Amni, aku ada kelas. Aku pesan, jangan tanya apa-apa, tapi kalau dia sendiri nak bagitau biarkan. Kalau dia nak menangis, biarkan. Dengar ja apa dia nak cerita. Incik Ayah angguk-angguk faham. Ikutkan Incik Ayah pun sedih, tapi sebab aku yang taip entri ni aku hanya bagitau apa yang aku rasa je lah pada ketika itu.

Sampai ke rumah, sedang Amni nga sibuk-sibuk kemas, aku tanya Ayah. Ada Amni cerita apa-apa. No, jawab suami. Lansung tak sentuh sal hal tu dan dia pun nampak okay. Tak murung, lari-lari peluk aku sambil menangis no, no, no. Aku lega, yassss Amni is Amni. Jiwa dia kental, Alhamdulillah.

Aku memang takkan tanya, sampailah masa habis dinner (aku berdua ja ngan dia di dapur), sekali lagi dia tanya. "Ibu tau?". Pastu barulah aku pung-pang-pung-pang bercerita macam mana aku tak percaya, ustazah baru je hantar pic, tak ucap terima kasih pun tau-tau dapat berita macam ni pung-pang-pung-pang.

Selebihnya aku dengar Amni bercerita.

Hari tu (12 Februari), ustazah datang macam biasa. Kami belajar cam biasa. Sampailah petang tu, kita gi library, ada kakak jumpa kita bagitau, "Anti jangan tengok gambar-gambar tu tau". Kita konpius apa kakak ni maksudkan. Kelas kami yang last sekali tau yang ustazah accident.

Dalam hati aku semacam ada perasaan, Alhamdulillah durang (pihak sekolah) concern juga sal emosi budak-budak ni. Aku agak, masa kejadian tu berlaku, satu sekolah dah gempar tapi kelas (budak-budak) bawah seliaan ustazah paling lambat tahu sal berita tu. Hati aku tersentuh.

Tapi yang buat perasaan aku lebih gembira, atau puas hati ke lega ke (tak pasti ngan perasaan sendiri) ialah sambungan kisah ni...

Pagi tu (13 Februari), ada announcement di asrama bagitau halaqah kita kena berkumpul di tempat letak kereta. Masa tu kita lom bangun pun lagi. Kawan bilik yang kejut. Kita keluar dari bilik (nak ke bilik air), dua tiga kawan halaqah dah siap tunggu kita depan bilik, terus cakap kat kita, "Anti tau tak...? Ustazah dah takde" sambil menangis, nangis. Kita mamai-mamai lagi masa tu. Siap-siap kita turun, dan kami naik tiga kereta pergi rumah ustazah (mentua arwah) di Senawang. Kami bacakan Yasiinn di sisi jenazah ustazah, kami dapat tatap wajah ustazah, dan kucup ustazah buat kali terakhir.

Waaaaa... berjuraian air mata aku, seeeedihhhh.

Amni pun sama-sama menangis ngan aku, peluk-peluk saling memberikan sokongan. T.A.K. Adegan  macam tu mungkin wujud dalam drama sinetron atau iklan hari raya. Hakikatnya? Tak macam tu. Aku je yang sedih namatey, Amni penuh ketenangan, setenang air di kali. Setitis pun air mata dia tak keluar. Kental makcik ni Allahuakbar, sampai aku tanya dia, "Amni ada nangis tak?". "Adalah... Awal-awal tu". Fuhhh lega. Tandanya lacrimal gland dia masih berfungsi dengan baik.

Yang pergi, tetap akan pergi. Biasanya yang ditinggalkan lebih beremosi. Contohnya aku. Sekadar parent ja, berurusan dengan ustazah tak sampai 2 jam pun (Lebih kurang). Dua ke tiga hari jugalah beremosi. Cer bayangkan emosi budak-budak halaqah ni. Dan yang pergi ni ialah seorang hafizah, Penghafaz Al-Quran yang mengajar anak-anak ni menghafaz Al-Quran. Boleh bayangkan tak betapa tenangnya ustazah di alam sana, InshaAllah.

Aku rasa yang aku sedih sangat-sangat tu, sebenarnya lebih kepada memikirkan Amni dan anak-anak halaqah. Tapi pada masa tu aku pun konpius, pesal kalau aku terkenang je sal ustazah aku rasa sebak dan menangis bukan sekadar sebak ja kau tau. Aku sampai terfikir nak bawa Amni ziarah kubur ustazah, tuk kali terakhir walau pun tak dapat melihat ustazahnya wat kali terakhir.

Alhamdulillah pihak sekolah lebih prihatin. Tak sangka pulak pihak sekolah bawa anak-anak halaqah bertemu ustazah, dapatlah anak-anak halaqah sedekahkan Yasiin di sisi jenazah dan dapat kucup ustazah mereka wat kali terakhir.  Kalau nak ikut sangat SOP, memang tak dapatlah anak-anak ni keluar sekolah. Mana nak amik kebenaran ibubapa dan macam-macam tok nenek lagi. Allahuakbar, terima kasih.

Inilah jiwa pendidik. Kadang-kadang tindakan mereka out-of-scope. Tapi niat mereka semuanya baik-baik. Prihatin, ada sifat simpati, empati, dan macam-macam lagi sifat mahmudah dalam jiwa mereka. Ya, aku juga seorang pendidik tapi aku memang betul-betul tak faham kalau ada orang mempertikaikan tindakan cikgu yang begitu dan begini walhal sah-sah untuk kebaikan anak didik sendiri.

Ya, mungkin ada sebahagian kecil pendidik yang born to be a chef or born to be a prime minister, tapi tiba-tiba TERjadi pendidik; percaya jumlahnya amat sedikit. Selebihnya, yang ramai tu, raaaaaaamaiiiii adalah pendidik yang benar-benar mengambil berat hal ehwal anak didiknya. Kalau boleh nak tahu semua, makan apa pagi tadi, adik beradik berapa, mak kerja apa, ayah kerja apa, duduk mana, hobi apa, hujung minggu buat apa... nak tahu serba serbi macam makcik bawang, macam stalker pun ada. Sebabnya nak cuba memahami setiap satu anak didik. Nak mendidik ngan penuh kasih sayang, nak didik manusia jadi manusia. Tak jadi millionaire takpe, janji jadi manusia yang memegang agamanya dan boleh berdikari!

Buat Ustazah Aishah, terima kasih kerna mendidik anak-anak kami, terutamanya, Nur Amni Dayini. Walaupun ustazah dah tiada untuk mendengarnya, tetap saya nak ucap terima kasih banyak-banyak. Jasa ustazah, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan infiniti ketenangan dan kedamaian. Selagi Al Quran ada dalam hati anak-anak kami, selagi itulah bekalan mengalir tak putus-putus buat ustazah di alam sana. Insha Allah, Insha Allah. Al-Fatihah untuk Ustazah Siti Aishah binti Ismail.

Alhamdulillah, selesai entri kenangan buat tatapan Amni dan kami sekeluarga kelak.

"All we have to decide is what to do with the time that is given to us. Use it wisely. The same time will not come twice" ~ anynomous

Tuesday, 6 March 2018

Kakak Amni dan Kipas Ajaib serta sedikit HalEhwal Keibubapaan

Salam dari Senaling,

Minggu lepas empat ke lima kali Kakak Amni call. Ini rare. Biasanya makcik ni jarang call. Dulu jadi satu isu jugalah. Tapi sekarang kami dah imun. Dia tak call, maknanya dia sihat sejahtera  dan baik-baik sahaja. Alhamdulillah. Tapi bila dia call, tiga hari berturut-turut tandanya tak okay la kan?

Makcik tu dilanda kerisauan dan dihantui rasa bersalah sebab dia telah 'merosakkan' kipas kelas katanya dalam telefon. Cara dia describe macam kipas tu dah jahanam. Ikut aku, jom ahhh gantikan ja yang baru. Ikut Incik Ayah yang punya kemahiran teknikal yang tinggi, jawabnya kita tengok dulu.

Mari tengok-tengok apa yang makcik ni dah buat dengan kipas ajaib tersebut.

Masalah kecil je ni. Tuk Incik Ayah lah. Tuk aku... Hohohohoiiiii what is the ...?

Peralatan yang aku nampak beliau guna ialah cable tie, ada skru sikit, dan pemutar skru. Macam tu aje. Aku memilih tuk malas nak amik tahu. Kalau aku menyibuk tersilap gaya, aku akan kena warning.

Baik aku kelebet barang makcik ni dalam kelas, sambil komplen macam-macam sebab serabut kot kelas bersepah barang atas meja. Teringin betul aku nak make over kelas makcik ni. Cat semua warna putih. Meja lapik warna putih (kertas putih yang tersohor ialah kertas mahjung). Murah dan besar pulak tu! Langsir tukar warna putih. Serba serbi putih amek kau. Mesti nampak besar dan saujana mata memandang. 

Tapi teringin je lah. Action tiada. Sedangkan kelas kembar yang jarak sekolah ngan rumah tak sampai 3km pun kami tak buat apa-apa. Inikan pula sekolah Amni nun jauh di Pedas. Eh, Pedas ke Kuala Pilah bagi aku jauh. Huhu

Tapi itulah, keinginan nak menceriakan kelas kembar ni memang ada (ingat aku main-main? heh). Bayangkan kembar lain-lain kelas, jenuhlah pulak nak menceriakan dua kelas yang berbeda. Dulu Incik Ayah pernah menceriakan kelas Amni bersama-sama dengan beberapa keluarga yang lain, tahun 2016.

Kesimpulan, tunggu kembar satu kelas lah, kan?

Selesai semua, aku suruh Amni say thank you dan hug Ayah. Anak perempuan bila dah besar, dia ngan ayahnya macam ada gap sikit. Jadi perlu disedarkan walaupun untuk say thank you (she definitely will say thank you) dan hug (yaaa this part is a bit hard, i am a witness of that awkward moment).

Ikut-ikutkan aku sebenarnya menyesal tuk banyak juga perkara bila melibatkan isu parenting. Bila tengok momen-momen InstaFamous aku terasa, kenapa dulu aku tak buat macam ni ngan anak-anak? Aku patut layan anak-anak macam ni dulu. Patut main dengan anak-anak macam ni. Ehhhhh maciam-maciam lah. Lantaklah kalau durang (instafamous) tu fake ke apa ke, tapi memberi kesedaran kepada aku bahawa momen bersama anak-anak tak mungkin berulang. N.E.V.E.R

Aku selalu rasa, kembar untung sebab selepas durang kami dah takde anak kecik. Perhatian memang untuk kembar. Amni ialah seperti anak sulung yang lain (kot), once ada adik mula kena marah, mula kurang diberi perhatian.

Masa kecik Amni tak boleh diulang. Walau pun begitu aku masih bersyukur sebab Amni dapat adik bila usianya 4 tahun. 4 tahun solid tuk dia seorang dan zaman dia kecil smartphone  masih belum berkembang. Online Social Media pun kami (sebagai ibubapa) lambat nak join Alhamdulillah. Bila aku tulis ni, aku tersedar yang sebenarnya Amni masih untung, lebih beruntung sebab tak bersaing ngan benda! Haha

Yasss... 

Anak-anak kami sedang membesar, dan aku akan apply any parenting skills yang termampu aku apply. Its never too late to start over again and again. Aku tak nak menyesal apa-apa pada masa akan datang. Aku rasa semua parent rasa begitu. Paling penting ialah usaha ke arah yang lebih baik, selebihnya bertawakal.

Moga DIA bantu, DIA tolong, DIA lindungi kita semua. Aamiiin.

Tuesday, 26 July 2016

Kadang-kadang Kau Harus Belajar Jatuh

"Ibu, Sains kita dapat B", Amni memulakan bicara.

Beku sebentar momen tersebut kerna satu bahagian dalam mindaku sedang mencari-cari ayat yang sesuai untuk aku sampaikan.

"Sains yang ramai kawan Amni dapat gred teruk tu ke?"
"Ehmmm..." Amni mengiyakan.
"Takde orang dapat A kan?".
"Ada. Tiga orang. Iqbal, Faris dan Farzana".

"Baguslah", ujarku.
"Bagus apa?".
"Baguslah Amni dapat B. Supaya Amni belajar. Kena berusaha baru boleh berjaya". Aku cuba mengaitkan keadaan ini dengan keputusan pertengahan tahunnya.

Bijak tak bermaksud selamanya akan mendapat keputusan yang baik.
Bijak harus seiring dengan usaha.
Usaha yang boleh bawa kau pergi jauh.

Ini baru ala-ala nak jatuh sebab tersadung.
Aku tak nak dia jatuh tersungkur dan tersembam baru nak belajar sesuatu.

Dia diam.
Aku harap dia diam dan faham.
Aku berdoa dia faham dan hadam.

Friday, 10 June 2016

Mungkinkah?

"Ässalamualaikum..."
Tabah aku menunggu. Yakin pasti ada senyuman menyambutku tengahari itu di sebalik pintu nanti. Bahagia di musim cuti sekolah.

"Ibuuuu...". Hari ni aku menyambut senyuman dari Amni. My only daughter.

"Amni nak dapat berapa A UPSR nanti?", sengaja bertanya. Soalan yang lebih kepada peringatan mesra tulus ikhlas sebenarnya.

"6A''. Yakin. Tepat. Padu.

Segera Amni beredar. 

Duduk. 

Menyambung menonton rancangan kegemarannya. Sedari pagi.

T_T

Seketul Amni bersama confident level aras tinggi dan semoga terhibur membaca nukilan pendek dari seketul ibu yang masih/akan sentiasa belajar menjadi ibu terbaik kepada seketul Amni.

Daaaa... Bye loves :)

Friday, 25 September 2015

Kakak Amni & Aktiviti Nasyidnya

Salam dari Senaling,

Isnin lepas (waktu jerebu kuat tu hari) kakak gi SAR Felda Kepis, masuk pertandingan nasyid. Hari tu nasyid hari ni nasyid lagi. Rupanya yang hari tu terbuka sekolah kebangsaan, kali ni tuk sekolah agama rakyat. Layankan aje.

Jarang dapat tengok Amni masa pertandingan sebab buatnya waktu kerja. Kebetulan Incik Ayah ada dan beliau sangat excited nak tengok Amni bernasyid; nak gi Felda Kepis yang tak tau di mana naik motor time jerebu. Tacing tau I macam ni. Kebetulan Isnin jadual padat waktu pagi je, maka jomlah kita pergi sama-sama ya Incik Ayah.

Mula tu macam malas sebab keja banyak. Tetiba teringat satu buku Raise Your Child Self Esteem yang aku baca lama dulu, kunun nak wat review page by page. ( Puiiii ) Tapi sempat juga wat sampai #9 out of #365. Jadilah kan...? Hehe. 

Katanya, amik cuti sehari tuk join kerja lapangan anak-anak. Cuti sehari dia suh ko amik, demi anak-anak tau. Setakat setengah hari... Kemon bukan lama pun Amni menjalani zaman kanak-kanaknya. Maka pedulikan dulu kerja. Moh amik kebenaran keluar dari Tuan Ketua Unit.

Lima sekolah ja yang masuk bertanding, turn sekolah Amni nombor tiga. Habis semua sekolah wat persembahan, aku ucap tahniah pada Ustaz Khairul. Atas usaha beliau dan anak muridnya. Bukan senang nak latih budak masuk pertandingan. Petang-petang stay back nak berlatih sedangkan mungkin cikgu lain dah sampai rumah nga main ngan anak-anak atau kuali periuk.

Alhamdulillah tahniah sekali lagi, bila durang berjaya menjadi Johan dan akan mewakili daerah Kuala Pilah ke peringkat negeri. 

Amni & The Gang. Diva sangat kakak Amni bergambar di balik tirai.

Maka dengan itu diumumkan; lepas cuti sekolah nanti Incik Ayah harus bertabah sekali lagi sebab kena ulang amik Amni yang akan balik lambat sebab latihan nasyidnya. Gambate!

Alah mende kecik ja tu, mungkin kurang dari 10 tahun lagi kami as parents akan merindui saat-saat sibuk menguruskan Amni dan aktiviti-aktiviti di sekolahnya.

Sekian. Salam Aidil Adha semua. Salam 13 Zulhijjah. 
Tanak lupa yang kita boleh bertakbir lagi sampai Asar hari ni. Insha Allah.