Tuesday 31 December 2019


Pengumuman PT3 dan UPKK 2019 Gaya Kami Sekeluarga

Kakak Amni dapat keputusan PT3.
Abang Amin dan adik Iman dapat keputusan UPKK.

Keputusan dapat selang sehari. Didahului dengan keputusan UPKK pada 17 Disember dan PT3 pada 18 Disember 2019. Hari Selasa dan hari Rabu. Bermakna ibu berada di Banting ketika keputusan diumumkan. 

Tidak berada disamping anak-anak ketika keputusan peperiksaan awam diumumkan adalah sangat menyedihkan. Emosi betul rasanya, jadi aku menghasut anak-anak untuk tidak ambil peduli dengan keputusan peperiksaan tersebut. Alahhhh apalah sangat, UPKK dan PT3 je kot. Gitulah lebih kurang ayat azimat yang aku guna.

Disebabkan syurga dibawah tapak kaki ibu, maka anak-anak pun patuh dan taat kepada kehendak ibunya. Hehe.

Jadi pada dua hari tersebut, gempar seantero Malaya dengan dua keputusan ini. Aku dan keluarga acah-acah lek, cool, chill... Acah-acah aje, walhal menggeletis rasanya nak tahu keputusan (aku lah tu).

Lebih menggemparkan ialah, aku baru tahu yang keputusan PT3 hanya boleh diperoleh dari sekolah pada hari berkenaan jam 12.00 tengahari. Gempar dan gelabah oooo... Ku fikir boleh dapat dihujung jari seperti UPKK. Rupanya N.O omaimaiiii... Disebabkan idea untuk tidak mengambil keputusan peperiksaan adalah keputusan aku, maka mencari jalanlah aku untuk dapatkan keputusan. Kerisauan suami membebel. Haha.

Telefon sekolah, telefon SU peperiksaan, Whatsapp Ustaz kelas Amni... Kelam kabut kurasakan. Akhirnya... Dapatlah keputusannya pada hari berkenaan, tanpa pengetahuan Amni. 

Pendekkan cerita, aku pulang ke Pilah pada hari Jumaat. Bercadang untuk mengumumkannya menggunakan kaedah nisbah dan kadar. Ilmiah bukan? Tempat;  McD Kuala Pilah. Alat bantu mengajar yang digunakan ialah macaroon. Kurasakan diri ini sungguh kreatif. Haha.

Keputusan UPKK aku periksa online di McD bersama 6 biji macaroon. Langkah penjimatan jika menggunakan nisbah dan kadar. Kadarnya ialah 1 A bersamaan 1/2 macaroon. Pada ketika ini, Amni kononnya masih tak tahu lagi keputusannya. Dia pun sudah dimaklumkan keputusan PT3 tidak di online kan. Jadi akan diambil pada hari Isnin di pejabat sekolah.

Walaupun begitu, kemain excited nak tahu keputusan adik-adiknya.

Periksa keputusan Amin dahulu. Lepas tu keputusan Iman pula. Periksa semula keputusan Amin, Tiga kali aku periksa kembali keputusan Amin, memang surprise anak-anak tengok riak muka aku dan ayahnya. Ini real punya bukannya acah-acah. Hadoiiii... Kenangan sungguh.

Kemudian aku letak tisu depan Amin, aku kerat 1 macaroon jadi 1/2... Jadi 1A. Lepas tu satu, satu dan satu lagi macaroon sama-sama adik beradik mengira. Bila aku berhenti, semua menjerit keriangan.

 Ya, Amin dapat 7A! Alhamdulillah dan tahniah Amin.

Kemudian Iman pula, Kaedah yang sama. Tapi dah tak ingat aturan macam mana aku letak macaroon tu. Pun sama-sama mengira adik beradik, pun sama-sama menjerit keriangan.

 7A! Alhamdulillah dan tahniah Iman.

Terpaling gembira aku rasa malam tu ialah Amni. Seronok dia tengok adik-adiknya dapat keputusan yang baik, walaupun keputusan dia 'lambat' lagi nak tahu (kunun). Selesai adegan menjerit keriangan sampai meja sebelah pun pandang-pandang hehe, sesi bergambar pula (kunun).

Bergambar kenangan meraikan kejayaan kembar. Alhamdulillah...

Lepas tu terus aku letak pula tisu depan Amni. Amni bereaksi... "Eh..." Aku terus ja susun satu, lepas satu, satu, satu, satu dan setengah macaroon depan Amni. Lepas tu aku dan suami sama-sama cakap "Tahniah kakakkkkk..."

Kegembiraan... Alhamdulillah dan tahniah kakak! 11A!

Lepas tu aku pun pung pang pung pang menceritakan kisah begitu begini bagaimana aku dapat keputusan PT3 dari Setiausaha Peperiksaan sekolah Amni pada hari keputusan diumumkan.

Sesungguhnya gembira tak terkata aku dengan keputusan Amni, Amin dan Iman. Allahu Akbar serius aku rasa aku nak bagitau satu dunia, betapa bangganya aku dengan keputusan mereka. Tapi aku risau aku jadi riak dan takabbur pula nanti. Tapi teringin nak simpan buat kenang-kenangan di Insta. Sudahnya aku buat caption general, memohon akhlak budi pekerti mereka secemerlang keputusan yang diperoleh. Moga ada yang aamiiinkan doa aku buat anak-anak tercinta ini. 

Dihujung sekali aku buat nota kaki dalam bentuk descriptive (yakni ayat semua) berkenaan nisbah dan kadar ditambah kira-kira matematik. Aku yakin hanya yang tekun dan rajin sahaja yang akan membaca sampai habis nota cinta aku tu serta perlu pula menaakul dengan teliti. Hasilnya, memang tak ramai yang tahu secara terperinci keputusan sebenarnya mereka.

Rata-rata fikir Amni dapat 5A dan kembar dapat 3A yeay. Maksud sebenar tercapai dan aku tak jadi nak riak dan takbur haha...