Saturday 7 September 2019

Bibik Dahlia, Terima Kasih

Baru je aku sembang dengan Ayah perihal bibik. Bibik Dahlia. Sembangnya, gambar bibik tiada dalam simpanan kami. Aku ni rajin jugalah belek album, photobook, waima gambar dalam komputer riba, memang tiada lansung rasanya.

Semalam, kami ke KL menghadiri walimatul urus rakan-rakan lama ketika aku mengajar di SS17, Subang Jaya. Dapatlah kami sekeluarga menikmati rasa tekanan menghadapi kesesakan lalu lintas di Lembah Klang yeay *joget joget* . Dah alang-alang ke sana, lajak teruslah ke rumah abang ipar yang tersalah ambil charger kami di kampung tempoh hari.

Terima kasih charger kerana menghubungkan kami.

Kalau tak kerana ia, tak sampai kami ke rumah Abang Toha dan Kak Yus. Hikmahnya kan? Lama sangat tak ke rumah abang ipar ni. Sembang-sembang, makan-makan, bawang-bawang, kunyit-kunyit dan...

Tantadaaaaa... Ada la gambar bibik bersama kami rupanya. Dalam simpanan Kak Yus.

Cantik bibik kami ni, kerjanya tip top. Dan comelnya Amni masa ni.

Kerajinannya tidak dapat disangkal lagi. Pandai mengurut, Pandai menguruskan anak-anak (kembar terutamanya). Boleh memasak. Mengemas memang hobinya. Rumah aku dulu memang berkilat-kilat sungguh aku tak tipu. Dan licin juga 😂. Satu hari mop lantai dua ke tiga kali. Baju-baju kami termasuk t-shirt dia gosokkan sampaikan aku bagitahu, tak perlulah gosok t-shirt. Aku kasihankan dia, penat kot nak urus kembar sambil mengemas dan memasak, bila kami bekerja.

Dia jagakan anak-anak kami dengan sangat baik pun aku dah gembira, bersyukur dan bahagia yang teramat sangat.


Untuk Amni, Amin dan Iman. Ingat. Bibiklah yang menjaga kamu semua ketika ibu dan ayah keluar mencari rezeki. Ditatang seperti minyak yang penuh, menyayangi kamu semua seperti anak sendiri. Buat Amin dan Iman, inilah bibik yang menguruskan kamu dari usia kamu satu hari. 

Selalu-selalulah selitkan doa untuknya dalam doa-doa kalian. Semoga urusan bibik dipermudahkan seperti mana bibik permudahkan urusan kami dulu. Semoga dikasihiNya seperti mana bibik mengasihi kami dan anak-anak kami waktu mereka kecil-kecil dulu.

Haish, sedih kalau aku ingat-ingatkan. Alhamdulillah, sempat juga bibik berkhidmat untuk kami selama tiga hingga empat tahun. Tapi itulah, perancanganNya jua yang terbaik menyebabkan perpisahan kami kurang proper. Sepatutnya ada la sikit parti meraikan; hadiah sikit, kek sikit, pulut kuning ke, apa-apa ke 😔  

No comments:

Post a Comment