Sunday, 28 August 2022

Epilog : Amni Terbang Tinggi

Kawan aku pernah marah aku, "Kau ini, dia baru nak terbang tinggi kau dah patahkan sebelah sayapnya", gitu ayatnya. Semenjak itu aku selalu hashtag #amniflyhigh untuk posting tentang Amni di media sosial.

Amni. Dari mana mahu mula? Dari keputusan SPM? Amni beroleh 11A+ 1A 1B. A untuk Biologi dan B untuk Bahasa Jerman. Dinobatkan sebagai pelajar terbaik untuk SMKA Haji Hasan Abu Sail, Pedas Negeri Sembilan SPM 2021. Itu keputusan rasmi dari Majlis Peperiksaan Malaysia.

Akan tetapi...

... dari kaca mata aku dan keluarga, Amni beroleh 13A+. Aku dapat keputusan sebelum dia menduduki kertas SPM pertamanya. Caraku menilai berbeza. Aku nilai keputusan Amni dari usahanya.

Usaha Amni usaha 13A+. Dan selamanya Amni peroleh keputusan SPM 13A+ 😁

Tahniah sayang dari ibu, ayah, Amin dan Iman.

Monday, 16 May 2022

Aidilfitri 1443H : 2 Syawal

Cerita sikit perihal 1 Syawal. Kebiasaannya (dua tahun dulu), 1 Syawal sehari suntuk memang beraya habis dengan semua keluarga rapat (adik beradik sebelah aku sebelah suami dan mak). Kelainan tahun ni ialah, ke rumah kakak-kakak suami dan seorang saudara terdekat di Syawal kedua.

Walaupun beraya gaya endemik, tetaplah rasa tak best nak sakan beraya macam dulu-dulu. Tak synchronize dengan plan suami. Aku kata, tunggulah Aidilfitri 1444H. Ada rezeki insha Allah kita meriahkan sesi kunjung mengunjung. Sebagai tipikal isteri, haruslah kemenangan milikku.

Selesai beraya, photoshoot dulu...



Ini pun ikutkan, aku malas. Once upon a time, aku yang beriya nak OOTD, suami malas nak layan sampai boleh bawa bergaduh. Sekarang terbalik. Faktor umur atau faktor you get what you give? Mungkin.

Zoooom ke AEON Manjung pada 2 Syawal. Cari apa? Takde apa-apa. Kebetulan Amni, Amin dan Iman teringin nak makan itu ini. Jomlah cari di AEON Manjung. Orang tak ramai/sesak tapi tempat makan memanjang orang queue nak masuk. Di Johnny, kami sampai staff dia kata tunggu 30 minit. Usai solat Zuhur, eh tunggu lagi 30 minit. Bila nak habis 30 minit kalau macam ini. "Chef ada satu orang ja". Patutlah.

Cuba cari tempat lain pula, tiada yang tidak queue melainkan queue sahaja. Tak boleh jadi, nampak Sushi King aku berdiri depan pintu dan tunggu. Staff kata orang ramai. Baiklah, faham. Tak sabar memang tak makan sampai ke sudah, believe me.

Berkat kesabaran Alhamdulillah, tinggi piring sushi kami kumpul. Kebetulan apps Sushi King ada offer, ada lagi aiskrim free sempena bulan kelahiran yeay. Rezeki dan berbaloi menunggu.

Kenyang semua, singgah Popular beli komik tiga beradik tu. Keluar Popular, nampak Samsung store. "Jom singgah nak tengok tablet". Aku berdua dengan suami masuk. Tiga lagi surrender, melepak di bangku. Macam biasa, tengok display tablet, conteng-conteng. Promoter datang pung pang pung pang. Kami say thank you, keluar dan...

"Macam nak beli..."

Suami kata beli aje lah. Jemu dia dengar aku duk menyanyi nak beli nak beli tapi tak beli pun. Masuk semula. Soalan pertama aku tanya, "Boleh sync gambar dari A32 ke tab?". Aku tahu mesti boleh punya tapi tak sangka sebegitu mudah zing zing zing cara nak kongsi gambar. Kesudahannya...


Inilah feature dalam Samsung Tablet 8 yang jadi punca utama aku tertarik untuk memilikinya. Terpesona(atau jakun) aku tengok gambar besar-besar dari screen digital device 😂

Selain cita-cita nak istiqamah update blog, aku jua punya cita-cita nak update Youtube channel keluarga kami buat kenangan. Moga jadi kenyataan dengan kewujudan ia.

Doakan.

Aidilfitri 1443H : 1 Syawal

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar...

Bangun tido anak-anak tegur. Ibu macam zombie. Statement anak-anak pun, murung aku tujuh perpuluhan lima minit.

Suami ajak balik rumah mak di Batu 6. Sebab baju raya tinggal kat sana. Ikutkan malas nak ke sana ke sini. Ya itulah kekurangan bila kampung laki bini dekat-dekat. Aku suruh ja solat raya pakai t-shirt dengan track suit, eh tak mahu. Malas nak cari gaduh, aku pun iyakan ajelah. Tapau juadah raya tuk di bawa ke rumah mak (sebab aku dah pesan ke mak tak payah masak apa-apa -- solehah kan aku?).

Sampai rumah mak jam 7 pagi... terperanjat Ida dan Yah sekeluarga pun ada. Ikut plan patutnya Kamal sekeluarga dan Pak Su ja. Gaya raya macam ni kan, bertebaran semua plan. Tapi bagus juga, insha Allah luak nanti segala macam juadah raya. Risau dan runsing masak macam-macam, banyak-banyak (sampai jadi zombie) takde siapa nak habiskan.

Kesimpulan, meriahlah rumah mak di pagi Syawal.

Terperanjat dalam satu ke tiga minit sudah, sambung pula bersilat hidangkan makanan. Yang lain-lain sibuk bersiap nak solat raya, jadi yang sudah raya awal lah yang patut sibuk, kan? Bukti sibuk di pagi raya aku letak siap kat sini.

Dihujung video perkenalkan adik yang terpaling suka cari pasal ngan mak.

Selepas mereka-mereka pulang dari solat raya, makan lagi.

Selepas makan, bersalam-salaman, bermaaf-maafan di hari raya dan photoshoot buat kenangan.

Ida dan suami. Kemain outfit kau da.

Yah sekeluarga. Shot ke 52 baru dapat  molek begini 😂

Kamal sekeluarga.

Mak hepi le tu tiba-tiba meriah 1 Syawal dengan anak menantu cucu.

Lepas sesi bergambar, cepat-cepat keluar rumah beraya rumah biras mak di Changkat Lada. Kena cepat kalau tidak besar harapan lansung tak keluar beraya terutamanya yang ada anak-anak kecil.

Sambung ke Hujung Rintis, rumah arwah Abang Dol pula lepas tu.

Sempat la ber OOTD Along sekeluarga di Hujung Rintis.

Oppps hampir tertinggal nak letak gambar aku sekeluarga.

Sekeping ramai-ramai di rumah mak (tanpa Baa dan Along)

Sekeping lagi ramai-ramai di Hujung Rintis (tanpa Baa dan Ida)

Untung besar tersalah baca mesej, tak ikut tema. Menyerlah sekeluarga 😎

Sunday, 15 May 2022

Aidilfitri 1443H : Juadah Raya

Siang terakhir Ramadhan, aku selaku chief chef menyediakan juadah berbuka dari jam 1 petang. Ramai yang membantu tapi bila jadi chief chef  ni extra lah sikit lelahnya. Pada hari kejadian, sejumlah tujuh keluarga yang hadir berbuka di rumah arwah Abang Dol. Alhamdulillah meriah, dan sibuk. Jangan kata nak main Clash of Clan, nak pegang Samsung A32 pun tak sempat hari tu huhu.

Bila dapat kejutan, rasa longgar kepala lutut. Aku bagitahu suami. Aku nak tidur. Tapi aku tak boleh nak tidur walaupun suami bagi izin bersyarat. Sudahnya, aku bangun dan ajak Amni, Amin, Iman sama-sama bantu sediakan juadah raya pada malam raya penuh kejutan itu.


Kalau dulu yang menganyam ketupat, aku dan arwah Abang Dol. Berlumba menganyam dan aku kalah pastinya. Kali ini, buat pertama kali menganyam tanpa Abang Dol. Ingatkan aku satu orang ja yang akan menganyam selamanya, nasib baik Amni beriya nak belajar sampai stress aku dibuatnya. Berbaloi stress, Alhamdulillah berjaya juga Amni menganyam. Pewaris, checked

Juadah Aidilfitri 1443H

Aku tidur jam 2 pagi, suami tidur jam 3 pagi tepi periuk rebus ketupat daun. Hasil akhir Alhamdulillah terasa macam wow juga kemahiran memasakku. Syukur berbakul-bakul, bahan-bahan memasak dah memang stand by jadi tidaklah havoc sangat malam tu. Jiran sebelah, pengumuman raya keluar, terus start enjin kereta pergi pekan Teluk Intan mencari bahan.

Aku, pengumuman raya, baring sambil tenung bumbung. Eh, kalah teruk havoc raya dengan jiran sebelah rupanya 😂

Juadah raya tersedia di pagi raya :

Rendang daging minang
Rendang ayam biasa
Rendang daging biasa
Semur ayam
Sambal goreng Jawa
Kuah kacang
Ketupat daun
Nasi impit segera

Alhamdulillah

Aidilfitri 1443H : Kejutan Malam Raya

Aku tak rasa aku seorang, satu Malaya setuju rasanya dengan apa yang aku (kami) rasa Aidilfitri 1443H kali ni.

Aku sedang selesaikan dapur (kemas, membasuh, mengelap dsb). Tiba-tiba suami melaung, "Raya esok". Aku macam what? Aku takkan sewenang-wenangnya percaya. Bergegas aku ke ruang tamu, mempersoalkan kenyataan suami sebab kadang-kadang suamiku pandai bergurau. 

Bila anak-anak saudara mengiyakan pernyataan itu, aku naik atas dan baring sambil memandang ke arah bumbung rumah. Oh, sempat juga aku capai Samsung A32 dan mesej keluarga. "Esok raya huhu". Aku tak mahu berhuhu satu orang. Lebih ramai lebih meriah lebih bagus.

Dan aku terus memandang bumbung rumah. Aku nak tidur.

Saturday, 30 May 2020

Ramadhan Terakhir 2020 versi PKPB

Ramadhan terakhir tahun ini, beriya aku rakam kenangan. Dengan harapan inilah Ramadhan teristimewa kami hadap bersama keluarga kecil kami. Ramadhan akan datang, Insha Allah nak raikan bersama keluarga di kampung pula. Dua tiga hari pun jadilah. 

Seterusnya sambut raya bersama. Membayangkannya pun buat aku gembira. Insha Allah tahun hadapan 2021. Moga Allah izinkan kami ketemu Ramadhan akan datang. Aamiin Ya Rabb.

Berbuka puasa 29 Ramadhan. Esok raya sudah

Beriya suami suruh pakai baju cantik malam raya.

Dah comel begini ajommmlah bergambar sekeping dua...

... tiga keping pun tak jadi hal.

Selesai bergambar, solat Isya'dan takbir raya. Merasalah dengar lelaki dalam rumah ni bertakbir secara live. Kalau tak atok imam, tak pun pinjam suara takbir dalam TV atau radio ajelah. Hikmahnya kan. Takde pun nak mengharap sesedap Imam Masjidilharam bertakbir. Tak sempurna boleh belajar. Yang penting semua gembira di malam raya.

Aidilfitri 2020 : Sesi Bergambar

Aku kira ini ialah aktiviti terakhir kami di pagi Aidilfitri pertama 2020 versi PKPB. Ailifitiri lalu, kebiasaannya selesai aktiviti ini, kami akan kunjung mengunjung saudara-saudara rapat bertanya khabar, bersembang isu semasa, sambil-sambil menjamu selera. 

Tak cukup biskut raya diruang tamu, jengah pula ke dapur. Makan lagi juadah istimewa di rumah berkenaan. Setiap rumah ada juadah istimewa tersendiri tau. Aduhai, rupanya aktiviti kunjung mengunjunglah yang dirindui kali ni. Setiap kali Aidilfitri menjelma, belum pernah miss, cuma kali ni Allah beri peluang merasa. Allahuakbar, sesungguhnya DIA Maha Tahu.

Selesai bersalam bermaafan, lari keluar rumah dulu bergambar. Cuaca punya cantik, panas dan hangat. Kalau bergambar di dalam rumah dahulu, dikhuatiri muka rentung dan ketiak berlecak.

Penat woo simpan muka supaya putih suci sesuci lebaran selama dua bulan. Terutamanya kembar.

Posing sekeping dengan duit raya.

Best friend forever.

Kaki gaduh dua-dua ni.

Boyz in the house.

Kesayangan hamba. Kesayangan semua.

Sekeping dengan my chegu mengaji.

Selesai semua... makan. Apa ke lagi?

Nak juga sekeping berbasikal dengan baju raya. Kita layan ja. Kalau tak siapa nak basuhkan kuali?

Aidilfitri 2020 : Bersalaman Bermaafan

Alhamdulillah jualah bila kami buat keputusan untuk menjadikan Aidilfitri 2020 meriah walaupun jauh diperantauan, walaupun hanya bersama keluarga kecil kami, walaupun tiada aktiviti kunjung mengunjung ziarah menziarahi.

Juadah tetap meriah.
Persiapan menjelang raya pun dibuat bersama-sama.
Takbir, solat dan khutbah raya tetap on.

Alhamdulillah, Allah beri ilham buat kami menyambut hari kemenangan ini meriah-gaya-kami. Pendekkan cerita semua aktiviti malam raya, dan di pagi raya pertama tetap meriah! Siap aku videokan, bila ulang tengok eh seronok pula.

Ni satu lagi aktiviti rutin di pagi raya.

Bersalaman. Bermaafan. Walaupun selesai solat jemaah dah sedia bersalaman minta maaf, tak kira pagi raya mohon lagi kemaafan. Ikut giliran. Ikut senioriti.

Aku cuba menuturkan maaf gaya orang jawa tapi tak lepas. Yang aku lepas ' jalok ngapuro' ja.

Posing acah-acah manis walhal fake ja semua ni.

Kesayangan keluarga. Kawan setia. Teman bergaduh.

Kak Long kawasan minta maaf. My chegu ngaji dan sesungguhnya makcik ni garang.

Amin.

Iman.

Aku selalu konpius dua ketul ni ~ Amin, Iman. Aku rasa ini Iman, tapi ulang tengok macam Amin. Tengok betul-betul macam Iman. Check folder gambar sambil throw back masa kejadian. Ya betullah ini memang Iman. Seronok main teka-teka macam ni di Syawal mulia haha.

Duit raya.

Tetap dihulur tanda penghargaan, tanda kemenangan. Siap masuk duit dalam sampul duit raya recycle. Duit dari kami, mahupun duit dari mak pak saudara. Walaupun duit diserah dalam bentuk atas talian, tak kira isi juga cash yang ada dalam rumah masuk dalam sampul. Obses bukan? 

Sekadar props sahaja, pinjam sampul Amni haha

Sadaqah dari mak pak saudara aku yang serahkan.


Dari kami ayah serahkan.

Selesai diserahkan duitnya dan selesai jadi props bergambar raya juga. 

End of day, kami kutip semula sampul, kutip semula duit. Sampul masuk dalam bekasnya, duit letak semula ke tempat sepatutnya. Depan mata anak-anak aku transfer online ke Tabung Haji masing-masing. Walau pun Amni kata, "Kita percaya ibu masukkan duit kita...", tetap aku tak kira. Duduk sini depan laptop, kamurang saksikan sendiri ke mana duit raya kamurang pergi.

Selesai bersalaman bermaafan, rutin diteruskan dengan sesi bergambar yasss.

Friday, 29 May 2020

Aidilfitri 2020 : Menjelang Aidilfitri

Awal-awal Ramadhan suami ada menyatakan hasratnya untuk mengemas dan menghias rumah. Suami semangat nak beraya diperantauan, aku yang malas. Tak happening khabarnya. Aku cakap happening raya terletak pada juadah raya. Tu yang beriya-iya aku memasak penuh satu meja. Yeay aku telah berjaya menonjolkan potensi sebenar aku yang gelojoh itu.

Intai-intai kawan-kawan di media sosial, perghhh boleh tahan gak masing-masing mengemas rumah. Aku kekal main fon, scroll tak pandai selesai, tidur dan memasak. Sampailah sehari sebelum raya, suami nyatakan sekali lagi hasratnya nak mengemas dan menghias rumah. Sayu pula aku tengok suami cenggitu sebelum dia keluar pergi pasar membeli bahan memasak.

Elok ja suami keluar rumah, terus aku kerah Amni, Amin dan Iman mengemas dan bersihkan bilik masing-masing. Aku plak kemas dan ubahlah sikit rupa ruang tamu rumah. Alihkan karpet, meja study, hiasan, kerusi, sikit-sikit sana sini. Suami balik, surpriseeeeeeee. Rumah kami kecil dan simple. Setengah hari ja, dah selesai semua. Tinggal tambah sikit-sikit faktor WoW untuk sesi berfoto di pagi raya.

Pasu luar rumah bawa masuk.

Suami adjust lampu kelip-kelip dari luar rumah bawa masuk.

Aku pula masukkan biskut beli dalam bekas kuih hidang atas meja. Biskut raya yang Amni buat selesai sudah dihadap adik-adiknya. Jadi aku suh suami belikan biskut all-time-favourite di Speedmart macam chipsmore, oreo, nabati dan apa-apa yang pasti habis dimakan. Sungguh-sungguh habis semua biskut tu tak sampai raya ketiga pun. Syabas anak-anak kerana tak membazir.

Test... test...

Okay... pasti awesome esok.

Kalau hari biasa meja makan gaya Jepun ni, kembar guna buat meja belajar.

Dan, lapik meja putih suci murni ni sebenarnya langsir dilipat dua haha 😂😁

Aidilfitri 2020 : Makan Makan

Aidilfitri paling bermakna dan Insha Allah akan kami kenang hingga hujung nyawa. Aku rasa satu dunia (terutama bagi yang meraikan) pasti kenang Aidilfitri ini sampai bila-bila. Aku berdoa, cukuplah sekali ini ja begini. Moga DIA izinkan kita semua meraikan hari kemenangan ini pada tahun-tahun seterusnya seperti biasa. Aamiiin.

Sejujurnya aku/kami chill ja beraya di perantauan. Lebih tenang, tak terkejar-kejar masa, tak terkejar ke sana ke sini dan takdelah drama raya aku laki bini haha. Cuma kemeriahan/kesibukan raya  tu je la tak dapat rasa. 

Dan barulah aku tahu sungguh benar dan betul-betul ada orang ternanti-nantikan kehadiran kita di hari mulia. Aku fikir drama-drama, iklan-iklan raya tu acah-acah sedih ternanti-nanti. Rupanya tidak. Alhamdulillah banyak kita belajar dari Covid 19. Alhamdulillah besar hikmah Allah berikan pada kita. Alhamdulillah.

Walaupun beraya di perantauan acehcehcehhh... tetap kami sambut dengan meriah. Rutin raya masih wujud walau pun sedikit berbeza.

Juadah di pagi raya

Bukan main-main aku memasak untuk juadah di pagi Aidilfitri. Tujuh juadah aku sediakan untuk dimakan bersama nasi impit dan lemang. Bukan kaleng-kaleng. Enjoy ja aku menyediakannya sebab aku ada pembantu setia. Tambahan sedikit bijak hasil raya-raya yang lepas. Aku guna kaedah frozen awal. 

Paling awal aku sediakan bahan ialah pes rendang minang. Seminggu puasa rasanya aku dah blend semua pastu simpan dalam freezer. Sampai waktu tinggal campak protein, pastu tambah lah kerisik, daun kunyit.


Kedua awal, rendang kerang...


...dan sambal tahun kaki ayam terkurang cili.

Seminggu sebelum raya aku dan merendang. Sikit buat lauk berbuka, selebihnya frozen. Ketiga dan keempat merendang daging dua rasa. Sekilo buat rendang daging minang, sekilo gi buat rendang daging guna serbuk rencah Adabi. Yang minang tu senang sebab aku dah siapkan pes dia, cuma yang satu gi tu kena buat dari mula. Daging pula lambat empuk, seharian mengerjainnya. Seperti biasa, ambil sikit buat lauk berbuka dan selebihnya frozen

Rendang daging serbuk Adabi.

Rendang daging minang nimislan style. Kegemaran kembar terutamanya Amin.

Moral cerita, tiga hari sebelum menjelmanya Aidilfitri, aku dah siapkan empat hidangan tuk pagi raya. Gelojoh bukan haha. Masak banyak jenis tapi sikit-sikit je ni. Nak feel raya punya pasal.

Sehari sebelum Aidilfitri aku sediakan homemade nasi impit... 

Aku ada satu perangai aneh berkenaan pagi raya. Sedaya upaya aku nak makan ketupat dalam sarung yang lebih alami. Suami pun gigih mencari pucuk kelapa untuk aku anyam jadikan ketupat. Tapi rezeki kami rupanya tertulis atas daun pisang bukan atas daun kelapa. Itupun Alhamdulillah jumpanya di Giant. Maka dapat jualah makan karbo dibungkus guna bahan alami - daun pisang. Alhamdulillah, Allah izinkan. Jika takdirnya tak jumpa bahan alami diperantauan, dibungkus plastik pun aku bedal.

...dan rendang ayam kunyit. 

Suami pula buat semur ayam. Malam raya kami dah ada enam juadah.

Menu paling akhir disediakan tapi paling awal habis - sambal jawa.

Pagi raya baru aku masak sambal goreng jawa selain hangatkan segala macam juadah yang aku frozen-kan. Hamparkan atas meja... tantadaaaaaa... haha. Oh tambahan menu dari jiran. Tiada dalam gambar ialah spagheti carbonara dari jiran juga. Sebab dapat ketika aku duk pening fikir apa nak dimakan untuk dinner. Alhamdulillah rezeki.


Yang di-frozen-kan pun aku tak hangatkan semua. Sehari awal aku akan keluarkan bekas frozen dari freezer dan letak dulu dibahagian bawah peti es. Masa nak perhangatkan, aku keluarkan semua bekas letak dalam suhu bilik pula. Lauk-pauk tu akan cair sikit dibahagian atas (bawahnya masih beku), jadi aku senduk jumlah yang perlu dan selebihnya aku frozen-kan semula. 

Buat macam ni, Alhamdulillah tak membazir. Buat macam ni, Alhamdulillah dapat makan rendang walau pun masuk raya kelima, keenam, ketujuh dan Insha Allah sampai raya ke dua puluh sembilan. Sampai kami meraikan sekali lagi 'raya'sempena selesainya puasa enam juga kot, Insha Allah.

Aku tak sangka, cerita sal makanan pun boleh jadi satu entri 😂