Friday 29 May 2020

Aidilfitri 2020 : Makan Makan

Aidilfitri paling bermakna dan Insha Allah akan kami kenang hingga hujung nyawa. Aku rasa satu dunia (terutama bagi yang meraikan) pasti kenang Aidilfitri ini sampai bila-bila. Aku berdoa, cukuplah sekali ini ja begini. Moga DIA izinkan kita semua meraikan hari kemenangan ini pada tahun-tahun seterusnya seperti biasa. Aamiiin.

Sejujurnya aku/kami chill ja beraya di perantauan. Lebih tenang, tak terkejar-kejar masa, tak terkejar ke sana ke sini dan takdelah drama raya aku laki bini haha. Cuma kemeriahan/kesibukan raya  tu je la tak dapat rasa. 

Dan barulah aku tahu sungguh benar dan betul-betul ada orang ternanti-nantikan kehadiran kita di hari mulia. Aku fikir drama-drama, iklan-iklan raya tu acah-acah sedih ternanti-nanti. Rupanya tidak. Alhamdulillah banyak kita belajar dari Covid 19. Alhamdulillah besar hikmah Allah berikan pada kita. Alhamdulillah.

Walaupun beraya di perantauan acehcehcehhh... tetap kami sambut dengan meriah. Rutin raya masih wujud walau pun sedikit berbeza.

Juadah di pagi raya

Bukan main-main aku memasak untuk juadah di pagi Aidilfitri. Tujuh juadah aku sediakan untuk dimakan bersama nasi impit dan lemang. Bukan kaleng-kaleng. Enjoy ja aku menyediakannya sebab aku ada pembantu setia. Tambahan sedikit bijak hasil raya-raya yang lepas. Aku guna kaedah frozen awal. 

Paling awal aku sediakan bahan ialah pes rendang minang. Seminggu puasa rasanya aku dah blend semua pastu simpan dalam freezer. Sampai waktu tinggal campak protein, pastu tambah lah kerisik, daun kunyit.


Kedua awal, rendang kerang...


...dan sambal tahun kaki ayam terkurang cili.

Seminggu sebelum raya aku dan merendang. Sikit buat lauk berbuka, selebihnya frozen. Ketiga dan keempat merendang daging dua rasa. Sekilo buat rendang daging minang, sekilo gi buat rendang daging guna serbuk rencah Adabi. Yang minang tu senang sebab aku dah siapkan pes dia, cuma yang satu gi tu kena buat dari mula. Daging pula lambat empuk, seharian mengerjainnya. Seperti biasa, ambil sikit buat lauk berbuka dan selebihnya frozen

Rendang daging serbuk Adabi.

Rendang daging minang nimislan style. Kegemaran kembar terutamanya Amin.

Moral cerita, tiga hari sebelum menjelmanya Aidilfitri, aku dah siapkan empat hidangan tuk pagi raya. Gelojoh bukan haha. Masak banyak jenis tapi sikit-sikit je ni. Nak feel raya punya pasal.

Sehari sebelum Aidilfitri aku sediakan homemade nasi impit... 

Aku ada satu perangai aneh berkenaan pagi raya. Sedaya upaya aku nak makan ketupat dalam sarung yang lebih alami. Suami pun gigih mencari pucuk kelapa untuk aku anyam jadikan ketupat. Tapi rezeki kami rupanya tertulis atas daun pisang bukan atas daun kelapa. Itupun Alhamdulillah jumpanya di Giant. Maka dapat jualah makan karbo dibungkus guna bahan alami - daun pisang. Alhamdulillah, Allah izinkan. Jika takdirnya tak jumpa bahan alami diperantauan, dibungkus plastik pun aku bedal.

...dan rendang ayam kunyit. 

Suami pula buat semur ayam. Malam raya kami dah ada enam juadah.

Menu paling akhir disediakan tapi paling awal habis - sambal jawa.

Pagi raya baru aku masak sambal goreng jawa selain hangatkan segala macam juadah yang aku frozen-kan. Hamparkan atas meja... tantadaaaaaa... haha. Oh tambahan menu dari jiran. Tiada dalam gambar ialah spagheti carbonara dari jiran juga. Sebab dapat ketika aku duk pening fikir apa nak dimakan untuk dinner. Alhamdulillah rezeki.


Yang di-frozen-kan pun aku tak hangatkan semua. Sehari awal aku akan keluarkan bekas frozen dari freezer dan letak dulu dibahagian bawah peti es. Masa nak perhangatkan, aku keluarkan semua bekas letak dalam suhu bilik pula. Lauk-pauk tu akan cair sikit dibahagian atas (bawahnya masih beku), jadi aku senduk jumlah yang perlu dan selebihnya aku frozen-kan semula. 

Buat macam ni, Alhamdulillah tak membazir. Buat macam ni, Alhamdulillah dapat makan rendang walau pun masuk raya kelima, keenam, ketujuh dan Insha Allah sampai raya ke dua puluh sembilan. Sampai kami meraikan sekali lagi 'raya'sempena selesainya puasa enam juga kot, Insha Allah.

Aku tak sangka, cerita sal makanan pun boleh jadi satu entri 😂

No comments:

Post a Comment