Monday, 20 November 2017

Amni Tiga Belas Tahun Hari Ni

Tiga belas tahun lalu Amni naik taraf status ibu menjadi ibu. Ibu rasa ibu dah citer kat blog momen-momen bahgia, dua puluh empat jam sebelum kelahiran. Tahun ni ibu berkongsi di laman Insta pulak. Biar jadi kenangan. Biar ingat sampai bila-bila.

Banyak kali ibu khabarkan pada Amni, kelahiran Amni ditunggu-tunggu ibu dan ayah. Dua tahun menanti, akhirnya...

Nur Amni Dayini.
20 November 2004.
9.50 pagi. 3.33 kg.

Alhamdulillah sihat sempurna. Gembira macam tak percaya pun ada, kini ibu dan ayah ada amanah besar untuk dijaga. Sehari selepas kelahiran, Amni asyik tidur memanjang. Lebih dari biasa. Ibu ingat itu normal sampailah ditegur jururawat. Amni ada jaundice. Macam-macam petua dikongsi. Minum akar kayu. Makan jamu. Bagi susu kambing. Bagi susu ibu. Jemur panas pagi. Semua ibu dan ayah cuba. Kami risau.

Bila umur Amni seminggu, Amni selsema. Bayangkan usia baru 7 hari dah kena selsema! Ibu masih ingat, Opah dan ayah yang bawa Amni ke Poliklinik Harmoni. Dr Natasha pun tak berani nak bagi ubat. Terlalu halus. Doktor nasihatkan tuk bawa Amni ke hospital.

Ibu fobia dengan hospital. Tak tahulah cerita drama swasta mana yang ibu tengok sampai jadi fobia macam tu. Ibu ajak ayah kembali ke Pertiwi Materniti, tempat Amni dilahirkan. Sekali lagi ibu kena marah dengan Dr Yati Hewett. Jaundice kalau dibiarkan akan membawa kerosakan kepada otak! Dr suruh Amni stay di klinik tuk diberikan rawatan (letak bawah lampulah apa ke lagi). Ibu dan ayah diarah balik.

Ibu balik ke rumah tanpa Amni. Macam nak giler rasanya. Rasa bersalah bertimpa-timpa. Kenapalah tak bawa jumpa doktor lebih awal. Tengok baju-baju Amni pun dah meleleh air mata. Sedih sangat-sangat. Tak dapat nak tido lena pun mengenangkan Amni. Esok petang dapat call dari Pertiwi Materniti. Amni dah okay. Boleh ambil pulang. Allahuakbar, bila tengok Amni tanpa mata atau kulit yang kekuningan. Cukup membahagiakan.

Nah, satu malam je pun Amni tiada. Naik sasau dibuatnya. Ibu tak boleh nak cerna dengan berita ibu-ibu yang kehilangan anak. Serius tak boleh. Ada juga kawan ibu yang kehilangan anak yang dikandung sembilan bulan. Meninggal dalam kandungan. Aduhai, ibu hanya mampu cakap takziah tanak tanya lebih-lebih. Menatap mata kawan tu pun ibu tak mampu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kadang-kadang berdiam lebih baik.

Dari tahun ke tahun Amni membesar. Amni menjadi kesayangan ramai seperti yang ibu selalu doakan. Nak nakal sikit, biar ibu dan ayah yang hadap. Dengan orang lain, lebih-lebih lagi pengasuh biarlah baik budi bahasa. Tenang ibu dan ayah mencari rezeki nanti. Alhamdulillah Allah perkenankan doa ibu.

Amni manja dengan ayah ketika Amni kecil. Ibu selalu keluar berkursus ke sana sini untuk macam-macam program. Adakalanya bermalam-malam. Ayahlah yang menguruskan Amni itu ini. Ayah selalu ungkit hal ini. Ayah tak buat lawak. Itu hakikat. Maka, jagalah hati ayah. Ayah banyak berkorban untuk Amni, untuk kita.

Ibu doakan yang terbaik untuk Amni. Dunia dan akhirat. Ibu akan sentiasa menjadi penasihat tetap Amni selama Amni masih dalam tanggungjawab ibu dan ayah. Amni sentiasa ada dalam doa kami. Moga Amni turut sama mendoakan ibu, ayah dan adik-adik.

Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 13, Nur Amni Dayini. Moga menjadi anak solehah, penyejuk mata, penawar hati, selamanya. Moga Allah kurniai Amni kesihatan, kekuatan dan kegembiraan berterusan. Moga berada dalam rahmat yang Esa. Moga dipanjangkan usia dalam keberkatan.

Aamiin.

No comments:

Post a Comment